Rasulullah contoh ikutan terbaik
KELAHIRAN Rasulullah adalah umpama cahaya bulan yang menyinari kegelapan malam. Kebangkitan Rasulullah sebagai utusan Allah telah berjaya memimpin dan membimbing umat manusia ke jalan yang lurus iaitu Islam.
Firman Allah dalam surah al-An'am ayat 153 yang bermaksud: "Dan bahawa (yang Kami perintahkan) ini adalah jalan-Ku yang lurus maka ikutilah ia dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain) kerana jalan-jalan ini mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya. Yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu agar kamu bertakwa".
Rasulullah bukan saja menyampaikan risalah dan ajaran Islam semata-mata bahkan baginda sendiri menunjukkan contoh bagaimana yang dikehendaki oleh Islam. Segala tingkah laku, percakapan dan sikap baginda mencerminkan keperibadian Islam yang dituntut dan dikehendaki oleh Allah untuk dicontohi oleh umat manusia.